BINTULU: Sekitar 60 unit kereta JDM mengambil bahagian dalam Pameran Kereta JDM Bintulu 2023 anjuran JCI Jalan Tanjung Kidurong, semalam Simbolik perasmian pameran disempurnakan oleh ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Dalam ucapannya, beliau bangga atas kesungguhan dan kejayaan JCI Jalan Tanjung Kidurong menganjurkan pameran julung kali pernah diadakan di bandar Bintulu itu.
Menurutnya, pameran itu bukan sahaja menyediakan platform kepada peminat JDM untuk berkongsi nasihat, bertukar pengalaman dan berkongsi minat, tetapi juga untuk meneroka keaslian dan kreativiti mengubah suai JDM mereka sendiri dengan cara yang lebih baik dan selamat.
“JCI sememangnya merupakan NGO belia yang sangat aktif dan berjaya menganjurkan pelbagai acara positif dan bermanfaat terutamanya kepada golongan belia.
“Saya berharap JCI Jalan Tanjung Kidurong akan terus tampil dengan pelbagai idea dan melibatkan diri secara aktif bersama belia,” ujarnya.
Malah, Pang percaya penyertaan sosial dan motivasi akan membantu mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi cabaran masa depan dalam kehidupan.
Hadir sama Presiden JCI Jalan Tanjung Kidurong, Loo Yong Sieng dan Pengerusi Penganjur Pameran Kereta JDM Bintulu 2023, Eric Kiu Sze Hau.


