Terus komited didik orang ramai perangi pembuangan sampah

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA) komited meneruskan  usaha mendidik orang ramai memerangi sampah menerusi pendekatan kempen antikutu sampah.

Pengurus Besarnya Rodziah Morshidi mengakui  bahawa memerangi sampah tidak mudah, namun, beliau berkata ia akan menjadi lebih mudah dengan sokongan masyarakat.

Dengan bertindak sebagai mata dan telinga BDA, katanya, pihak berkenaan boleh menyebar luaskan maklumat kepada pihak berkuasa jika mereka terserempak  pihak yang tidak bertanggungjawab melanggar peraturan di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Kebersihan) 1999 iaitu membuang sampah merata – rata.

Pada tahun lalu, BDA, katanya, memulakan kempen mengenakan kompaun RM15 di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Kebersihan) 1999 ke atas mereka yang membuang sampah merata-rata.

RODZIAH MORSHIDI

Kadar kompaun tersebut, bagaimanapun, dinaikkan kepada RM50 mulai 1 Julai lalu yang mana kadar kenaikan kompaun adalah bagi memupuk kesedaran kawalan diri dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan alam sekitar di Bintulu selaras dengan hasrat untuk menjadikan Bintulu sebagai bandar terbersih di negeri ini menjelang 2025.

Menurut Rodziah lagi, saban tahun pihak BDA membelanjakan kos yang besar untuk kerja-kerja pembersihan seperti menyapu, mengutip sampah dan sebagainya pada setiap masa.

Pada tahun ini, kita(BDA) memperuntukkan RM2.8 juta sebagai perbelanjaan untuk perkhidmatan menyapu, membuang dan mengangkat sampah dan berkaitan.

Sekiranya wang tersebut tidak diguna ke arah itu, kita dapat melaksanakan pelbagai program atau aktiviti lain berbentuk interaksi sosial, katanya pada sidang media selepas program Bintulu Town Hall di NAIM Street Mall Paragon, di sini.

Beliau, dalam pada itu, memberitahu orang ramai memberi maklum balas positif terhadap kempen antikutu sampah yang dilaksanakan pihak BDA termasuk kenaikan kadar kompaun.

Senario tersebut, katanya, jelas menunjukkan bahawa masyarakat mulai peka dengan kesungguhan BDA dalam memerangi sampah.

Malah, tambahnya, bilangan penyertaan dalam kempen atau gotong royong kebersihan yang diadakan turut meningkat terutama penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan,kelab, persatuan termasuk institusi pendidikan.
Acara ringkas perasmian disempurnakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Tan Kai mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Prof. Datuk Dr Sim Kui Hian.

Antara pengisian program dua hari bermula 27 hingga 28 Julai itu adalah pertandingan aerobathon, pertandingan Dart Beregu Tertutup, pertandingan sukan elektronik (PUBG), peraduan mewarna dan ceramah kebersihan.

PENGHARGAAN… Rodziah menyampaikan cenderahati kepada Tan Kai.

Suara Sarawak