BANGKOK: Perjuangan jaguh Muay Thai Sarawak, Texas Jeremy Lo, pada temasya Sukan SEA 2025 berakhir di peringkat suku akhir, namun semangat juang serta kematangan yang dipamerkan membuktikan beliau berada di landasan tepat untuk bangkit lebih perkasa pada masa hadapan.
Texas terpaksa akur dengan kekalahan tipis 2–1 kepada wakil Indonesia, Indra Surya, dalam acara lelaki 63.5 kilogram yang berlangsung di Stadium Tinju Lumpinee, sebuah gelanggang berprestij yang sinonim dengan pertarungan elit Muay Thai dunia.
Walaupun keputusan tidak memihak kepadanya, Texas mengakui pihak lawan mempunyai kelebihan fizikal terutama dari aspek jarak dan kawalan perlawanan yang banyak mempengaruhi tempo pertarungan tersebut.
“Dia sangat bagus, terutama dari segi jarak. Fizikalnya yang lebih tinggi memberi kelebihan untuknya mengawal perlawanan,” ujar Texas selepas tamat perlawanan.
Bagaimanapun, kekalahan itu tidak mematahkan semangat atlet kelahiran Bumi Kenyalang tersebut, sebaliknya beliau menyifatkan pengalaman beraksi di pentas serantau itu sebagai proses pembelajaran penting bagi memperkukuh kerjaya di peringkat antarabangsa.
“Saya akan berlatih lebih keras. Sebenarnya saya membuat persiapan mengikut peraturan amatur, namun saya tidak akan membiarkan kekalahan ini menghentikan langkah saya. Saya akan berusaha memperbaiki kelemahan dan tampil lebih baik dalam kejohanan akan datang,” katanya.
Texas turut memohon maaf kepada para penyokong selain merakamkan penghargaan buat barisan kejurulatihan dan keluarga atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang kempen berlangsung.
“Kepada semua penyokong di kampung halaman dan di tempat saya berlatih, saya mohon maaf. Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan anda. Saya akan berusaha untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi petarung Muay Thai negara, Mohd Mikail Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Miki Ghazali, memulakan saingan Sukan SEA dengan langkah cemerlang apabila berjaya menempah slot ke peringkat separuh akhir acara lelaki 57 kilogram.
Miki mencatatkan kemenangan 2–1 ke atas wakil Vietnam, Minh Nguyen Hoang, pada aksi suku akhir sekali gus menghidupkan peluang untuk memburu pingat emas di Bangkok.
Beliau bagaimanapun mengakui cabaran lebih getir menanti di peringkat separuh akhir, namun tetap fokus untuk mengekalkan momentum kemenangan demi mengharumkan nama negara.



