KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) hari ini mengumumkan senarai 17 pemain musim lalu yang dilepaskan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2026/2027 yang dijadual membuka tirainya pada 18 Ogos ini.
Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata senarai itu membabitkan tujuh pemain import dan 10 pemain tempatan yang dilepaskan berikutan tamat kontrak, dipinjamkan ke pasukan lain atau menerusi persetujuan penamatan kontrak.
Beliau berkata tujuh pemain import berkenaan ialah Raianderson da Costa atau Careca, Diego Landis, Yan Mabella, Kyaw Min Oo, Junior Sam Ngong serta dua pemain dari Tajikistan, Ehson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev.
“Antara pemain tempatan yang tidak lagi bersama TFC bagi musim baharu ialah Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob, Muhammad Hairiey Hakim, Mohd Saiful Jamaluddin, Mohamad Khalai’f Mohd Naskam, Muhammad Syahmi Zamri dan Muhammad Azziq Zahani.
“Turut dilepaskan ialah penjaga gol Nazul Izamil Zulkifli, Muhamad Baqiuddin Shamsudin dan Muhammad Haqimi Azim Rosli, manakala pemain sayap Muhammad Akhyar Rashid yang masih mempunyai baki kontrak akan dipinjamkan ke pasukan lain sehingga penghujung musim ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Syahrizan berkata TFC merakamkan penghargaan kepada semua pemain yang telah membantu skuad Penyu mengharungi cabaran sepanjang musim lalu.
“Terima kasih kepada semua pemain atas komitmen, dedikasi dan sumbangan sepanjang bersama TFC. Setiap daripada mereka memainkan peranan tersendiri dalam pasukan.
“Selamat maju jaya kepada semua pemain yang akan meneruskan cabaran di tempat baharu. Semoga mereka terus melakar kejayaan dalam karier masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, skuad Penyu kendalian ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain telah merekrut tiga pemain baharu, iaitu Danial Amier Norhisham, Ahmad Haziq Kutty Abba dan Manuel Ott sebagai persediaan menghadapi saingan Liga-M musim 2026/2027. – BERNAMA


