ARTIKEL

Thailand hantar pulang 18 tentera Kemboja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANGKOK: Thailand telah menghantar pulang 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan ke negara asal mereka pada 10 pagi selaras dengan Kenyataan Bersama yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 27 Disember semasa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) ketiga.

Kementerian Luar Thailand (MFA) menyatakan bahawa Kenyataan Bersama itu menetapkan anggota tentera terbabit akan dihantar pulang selepas gencatan senjata dipatuhi sepenuhnya selama 72 jam.

“Pembebasan ini juga adalah atas semangat Deklarasi Bersama antara Thailand dan Kemboja yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur,” menurut MFA.

Menurut MFA, pihak berkuasa Thailand telah memberi layanan terhadap 18 anggota tentera Kemboja itu selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva 1949, serta peraturan dan amalan kemanusiaan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Kementerian itu memaklumkan bahawa ICRC dibenarkan melawat tahanan secara berkala dan membantu memudahkan komunikasi antara anggota tentera terbabit dengan keluarga mereka.

“Penghantaran pulang ini dilaksanakan mengikut Konvensyen Geneva Ketiga berkaitan Layanan Terhadap Tawanan Perang,” katanya.

Sebelum dihantar pulang, MFA menyatakan anggota tentera berkenaan telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dimaklumkan mengenai hak mereka bagi memastikan proses penghantaran pulang itu dilakukan secara sukarela, selamat dan bermaruah.

Ia berkata, ICRC telah memaklumkan kepada keluarga anggota tentera mengenai kepulangan mereka, manakala wakil daripada ICRC dan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) turut hadir untuk memerhati proses penghantaran pulang itu.

“Penghantaran pulang 18 anggota tentera Kemboja ini mencerminkan perasaan muhibah dan pembinaan keyakinan, serta pematuhan kepada prinsip kemanusiaan antarabangsa,” kata MFA.

Thailand turut menzahirkan harapan agar Kemboja dapat membalas perasaan muhibah itu melalui tindakan konkrit bagi mempromosikan keamanan yang mampan antara kedua-dua negara.

Pada Sabtu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata segera, berkuat kuasa dari tengah hari waktu tempatan bagi menamatkan semua permusuhan sempadan, sekali gus menghentikan konflik yang tercetus semula pada 7 Disember.

Kenyataan Bersama itu ditandatangani oleh Menteri Pertahanan Thailand Jen (B) Nattaphon Narkphanit, yang juga Pengerusi Bersama GBC Thailand, dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan Kemboja Jen Tea Seiha, yang merupakan Pengerusi Bersama GBC Kemboja.

Mesyuarat Khas GBC ketiga diadakan secara serentak di Prum di Wilayah Pailin, Kemboja, dan Ban Pak Kard di Wilayah Chanthaburi, Thailand.

Di bawah Kenyataan Bersama itu, dan atas semangat Deklarasi Bersama Kuala Lumpur yang ditandatangani pada 26 Oktober, 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan di Thailand akan dihantar pulang selepas gencatan senjata dipatuhi sepenuhnya selama 72 jam. — Bernama

BERITA LAIN

Trump siarkan video lelaki maut akibat harimau

WASHINGTON: Presiden AS Donald Trump memuat naik rakaman yang mengemparkan di akaun Truth Social beliau pada Selasa, memaparkan seorang lelaki di Britain yang maut dibaham

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road