ARTIKEL

BERSEDIA...Victor (tiga kanan) bersama barisan ahli Jawatankuasa Larian Senyap 5.0 menunjukkan poster dan kelulusan program

The Silent Run 5.0 kini buka penyertaan di empat bandar utama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Larian Senyap (Silent Run) 5.0 bakal menemui peminat acara larian santai jarak pendek dan sederhana apabila dianjurkan di empat bandar utama di seluruh Sarawak pada tahun hadapan.

Acara itu dijadual berlangsung bermula di Bintulu pada 10 Mei, diikuti Miri (24 Mei), Sibu (14 Jun) dan Kuching pada 28 Jun 2026.

Jurucakap penganjur, Victor Hii berkata program anjuran Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak (SSDeaf) itu merupakan inisiatif pengumpulan dana bagi menyokong atlet Pekak bertanding di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Untuk permulaan di Bintulu, ia akan diadakan di pusat beli-belah The Spring; di Miri pula di Marina Parkcity dan kawasan letak kereta Miri City Hall; Sibu di Dataran Tun Tunku Bujang Fasa 1 (Sibu Town Square); manakala Kuching di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

“SSDeaf menyasarkan kira-kira 2,500 peserta merangkumi empat lokasi, dengan Kuching disasar menarik 1,000 peserta manakala tiga lagi bahagian masing-masing sekitar 500 peserta,” katanya pada sidang media di Bangunan Komuniti Pekak Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, acara tersebut terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan dua kategori larian disediakan iaitu 3 kilometer dan 5 kilometer.

“Orang ramai boleh menyokong Silent Run 5.0 dengan mendaftar sebagai peserta, menjadi sukarelawan, penaja atau membantu mempromosikannya melalui media sosial dan rangkaian komuniti.

“Usaha ini antara inisiatif untuk membantu SSDeaf menyokong operasi persatuan, termasuk latihan dan penyertaan atlet Pekak elit dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Untuk promosi pendaftaran awal sehingga 31 Januari 2025, bayaran ialah RM45 bagi kategori A (baju, medal, bib); RM30 bagi kategori B (baju dan bib); RM20 bagi kategori C (medal dan bib); dan RM10 bagi kategori D (bib sahaja).

Untuk kadar biasa sehingga 5 April 2026, bayaran ialah RM50 (kategori A), RM35 (kategori B), RM25 (kategori C) dan RM15 (kategori D).

Larian Senyap 1.0 pertama kali dianjurkan pada Julai 2016 di Kuching sebagai inisiatif mengumpul dana Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA).

Larian ini menjadi simbol komuniti Pekak dalam meningkatkan kesedaran mengenai budaya dan komunikasi orang pekak, termasuk penggunaan bahasa isyarat. Ia membawa mesej bahawa dalam kesenyapan sekali pun, perpaduan dan kekuatan dapat dicapai melalui toleransi dan saling menghormati.

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha