CANBERRA: Penyelidikan yang diketuai oleh agensi keselamatan nuklear dan radiasi Australia mendapati tiada bukti yang mengaitkan penggunaan telefon bimbit dengan pelbagai jenis kanser, lapor Xinhua.
Kajian yang ditaja oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diterbitkan pada Selasa itu menunjukkan tiada kaitan antara pendedahan gelombang radio daripada telefon bimbit dengan kanser seperti leukemia, limfoma, serta kanser tiroid dan rongga mulut.
Ini merupakan kajian semakan sistematik kedua yang dikendalikan oleh Agensi Perlindungan Radiasi dan Keselamatan Nuklear Australia (ARPANSA) bagi pihak WHO.
Kajian pertama, yang diterbitkan pada September 2024, meneliti hubungan antara penggunaan telefon bimbit dengan kanser otak dan kanser lain di bahagian kepala, namun tidak menemui sebarang kaitan.
Ketua penyelidik bagi kedua-dua kajian, Ken Karipidis, yang juga Penolong Pengarah Penilaian Kesan Kesihatan di ARPANSA, berkata kajian baharu ini menilai semua bukti yang ada mengenai kaitan antara telefon bimbit, menara telefon bimbit, dan kanser.
Menurut beliau, penyelidik tidak menemui bukti kukuh yang menunjukkan hubungan antara pendedahan gelombang radio dengan pelbagai jenis kanser, namun hasil kajian ini masih belum dapat disahkan sepenuhnya seperti kajian mengenai kanser otak.
“Ini kerana terdapat kekurangan bukti mengenai hubungan antara jenis-jenis kanser ini dengan pendedahan gelombang radio daripada teknologi tanpa wayar,” katanya.
Saintis ARPANSA, Rohan Mate, yang turut menyumbang kepada kajian itu, berkata penemuan ini akan “menambah kepada pengetahuan orang ramai mengenai teknologi tanpa wayar dan kaitannya dengan kanser.”
Kedua-dua kajian semakan sistematik ini akan menjadi asas bagi penilaian terkini WHO mengenai kesan kesihatan akibat pendedahan gelombang radio.– BERNAMA


