ARTIKEL

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali | Foto: Ghazali Bujang

Tiada garis masa khusus selesaikan isu MA63

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tiada garis masa khusus dapat ditetapkan ketika ini bagi menyelesaikan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana ia melibatkan pelbagai pihak selain memerlukan pertimbangan dasar serta tafsiran perundangan yang berbeza.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Kerajaan Sarawak bagaimanapun terus komited meneruskan rundingan serta usaha penyelesaian secara aktif menerusi platform sedia ada seperti Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

“Ini bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan secara berperingkat,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Tamin Christopher Gira Sambang berhubung pelaksanaan MA63 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Hasidah berkata, Kerajaan Sarawak telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam pelaksanaan MA63 khususnya dari segi autonomi fiskal dan pentadbiran.

Katanya, antara kemajuan utama dari segi fiskal adalah Pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 [Akta 533].

“Pindaan ini membolehkan pelantikan wakil Kerajaan Sarawak dan Sabah sebagai ahli tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), sekali gus memperkukuh penglibatan Negeri dalam hal ehwal percukaian di peringkat Persekutuan,” katanya lagi.

Kemajuan seterusnya yang dicapai kata Hasidah adalah peningkatan pemberian khas tahunan secara interim kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, daripada RM16 juta kepada RM300 juta, serta persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada RM600 juta mulai tahun 2025.

Dari segi pentadbiran katanya, kemajuan yang turut dicapai adalah penyerahan kuasa kawal selia bagi Petroleum Gas Cecair (LPG) kepada Kerajaan Sarawak.

“Selain itu, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182, bagi melaksanakan projek pembangunan Persekutuan di Sarawak dengan had nilai projek tidak melebihi RM50 juta.

“Di samping kemajuan adalah perubahan status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan Negeri dan pengambilalihan kuasa kawal selia alam sekitar daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), termasuk pengurusan buangan terjadual,” tambahnya.

Menjelas lanjut kata Hasidah, Kerajaan Sarawak juga sentiasa mempergiatkan usaha mempercepatkan penyelesaian isu-isu tertunggak di bawah MA63 melalui pendekatan rundingan berstruktur dan berterusan dengan Kerajaan Persekutuan.

Antara usaha utama katanya adalah penglibatan rundingan dan pelaksanaan aktif dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) serta jawatankuasa teknikal dan induk bagi memastikan setiap isu dibincangkan secara teratur dan dipantau secara berkala.

Selain itu kata Hasidah, penetapan keutamaan kepada isu-isu teras MA63 seperti hak kewangan negeri, autonomi pentadbiran, dan peningkatan kerusi Parlimen bagi memastikan penyelesaian dibuat secara fokus dan berkesan.

“Usaha Kerajaan seterusnya adalah pengukuhan mekanisme pemantauan pelaksanaan MA63 melalui sistem pemantauan berstruktur bagi memastikan setiap keputusan rundingan diikuti dengan tindakan susulan yang jelas.

“Penyelarasan antara agensi-agensi Negeri dan Persekutuan juga dilaksanakan bagi mempercepatkan pelaksanaan keputusan yang telah dipersetujui.

“Penggunaan pendekatan penyelesaian berfasa bagi memastikan isu-isu kompleks dapat diselesaikan secara teratur dan berkesan,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU