ARTIKEL

Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ditemui media selepas menghadiri program Jelajah MADANI Ulama dan Umara Peringkat Sarawak di Wisma SABATI, hari ini. - Foto: Ramidi Subari

Tiada gerakan ajaran sesat Millah Abraham di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tiada sebarang laporan diterima mengenai kewujudan gerakan ajaran sesat Millah Abraham di Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau menyatakan bahawa setakat ini, kementeriannya tidak mengesan sebarang aktiviti atau gerakan yang berkaitan dengan ajaran sesat tersebut di negeri ini.

Justeru katanya, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan sentiasa bekerjasama dengan pihak jabatan agama Islam dan jabatan mufti setiap negeri bagi memantau sejauh mana ajaran sesat ini dikembangkan.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti kaedah penyebaran ajaran sesat Millah Abraham ini tidak kira dalam talian ataupun secara fizikal.

“Namun setakat ini, saya belum menerima apa-apa laporan.

“Insya-Allah, kalau ada perkembangan terbaru saya akan maklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Jelajah MADANI Ulama dan Umara peringkat Sarawak di Wisma SABATI di sini, hari ini.

Menurut Dr Na’im lagi, beberapa negeri seperti Perak, Johor, Negeri Sembilan dan lain-lain sudah mewartakan ajaran Millah Abraham ini tergolong dalam kategori ajaran sesat.

Sebelum ini, Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNP) mengesahkan kewujudan gerakan ajaran sesat Millah Abraham di Perak.

Ajaran Millah Abraham kerap diperkatakan kebelakangan ini apabila ia mula dilaporkan dikesan di beberapa negeri lain, antaranya Negeri Sembilan dan Johor.

Antara fahaman menyimpang ajaran itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama, iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran Al-Quran berdasarkan fahaman mereka tanpa berdasarkan kitab tafsir.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa pengikut ajaran itu selesai menjalani proses pendakwaan di Mahkamah Syariah selepas dipercayai cuba menyebarkan ajaran itu kepada ahli keluarga dan masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU