KUCHING: Tiada mangsa banjir, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sarawak dan Sabah, dikesan mengalami masalah kesihatan mental yang memerlukan rujukan ke hospital.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) telah digerakkan ke PPS melibatkan tiga pasukan.
Mereka terdiri daripada pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pegawai psikologi, anggota paramedik serta anggota kesihatan daripada pelbagai kategori.
“Pelbagai aktiviti intervensi, teknik bertenang, ekspresi seni serta psiko-pendidikan telah dijalankan,” menurutnya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, katanya sebanyak 671 kes jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit, 37 kes gastroenteritis akut, 17 kes konjunktivitis serta satu kes penyakit tangan, kaki dan mulut dilaporkan, melibatkan seramai 9,379 mangsa yang telah diperiksa dan diberikan rawatan di PPS.
Bagaimanapun, tiada kes cacar air, tifoid, leptospirosis, COVID-19 dan kejadian wabak dilaporkan.
“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Sabah telah menggerakkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan masing-masing, iaitu 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan dari JKN Sarawak serta 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan dari JKN Sabah ke semua PPS terlibat,” katanya.
Terdahulu, KKM berkata sebanyak 30 fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir di Sarawak, namun 22 daripadanya telah beroperasi semula.
Manakala di Sabah, sebanyak 27 fasiliti kesihatan yang terjejas akibat banjir, tetapi kesemuanya telah beroperasi semula.
Sarawak merekodkan bilangan mangsa banjir seramai 12,409 orang melibatkan 64 PPS manakala di Sabah ada seramai 1,453 orang melibatkan sembilan PPS.


