Tiada positif Covid-19 di Sarawak hari ini

KUCHING: Sarawak hari ini tidak ada merekodkan kes positif Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sebaliknya, beliau berkata pada hari ini terdapat enam kes sembuh dan discaj dari hospital.

“Daripada enam kes tersebut, empat kes adalah dari Hospital Umum Sarawak dan satu kes masing-masing dari Hospital Sibu dan Hospital Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Bangunan DUN lama, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan timbalan pengerusi JPBN Sarawak Datu Ik Pahon Joyik.

Sementara, Uggah yang juga pengerusi JPBN Sarawak berkata daripada jumlah keseluruhan 543 kes, 69.06 peratus kes positif Covid-19 telah sembuh.

Manakala, beliau berkata bilangan individu dalam siasatan (PUI) hari ini adalah sebanyak 94 kes.

“PUI yang masih menunggu keputusan ujian adalah sebanyak 23 kes,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Bahagian Limbang telah bertukar status dari kawasan kuning kepada kawasan hijau hari ini kerana tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19 terbaharu dalam tempoh 14 hari.