Tiada rekod palsu ketibaan warga asing

KUCHING: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah gembira mendapati tiada rekod palsu ketibaan masuk pelawat dan warga asing ke negeri ini menerusi Borang Pengisytiharan Kesihatan (HDF).

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Jabatan Imigresen telah memperincikan pemeriksaan pengakuan terhadap pemilik pasport. “Saya diberitahu oleh Jabatan Imigresen bahawa setakat ini pegawai mereka tidak mengesan sebarang perisytiharan palsu sejarah perjalanan pelawat sebelum memasuki Sarawak.

“Sekiranya pemilik pasport pergi ke China baru-baru ini, stempel Imigresen China sudah tentu ditunjukkan pada pasport individu terbabit,” katanya pada mesyuarat jawatankuasa kedua mengenai perkembangan Covid19 di sini, semalam.

Bagaimanapun, Douglas Uggah kesal terhadap beberapa individu yang didapati menjual borang berkenaan kepada pelawat di pintu masuk tertentu. “Saya ingin memaklumkan semua jenis borang diberikan percuma,” tegasnya.

JPBN setakat ini memberikan lebih 800,000 borang kepada orang luar yang memasuki Sarawak.

Douglas Uggah turut menyatakan Kerajaan Sarawak menerima tiga Thermoscanners baharu daripada Kementerian Kesihatan.

“Dua unit dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Lapangan Terbang Sibu yang sedang digunakan sekarang. “Manakala, satu lagi akan dipasang di Stesen Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Sungai Tujoh pada 18 Februari ini.

“Ketiga-tiga alat itu adalah tambahan kepada dua Thermoscanners yang ada di LTAK dan Lapangan Terbang Miri untuk ketibaan antarabangsa,” jelasnya. JPBN pula akan menyediakan dua lagi alat itu di Lapangan Terbang Sibu dan Bintulu.

Oleh itu, majikan yang ingin membawa pekerja dari China dinasihatkan untuk memaklumkan kepada JPBN terlebih dahulu. Menurutnya, semua pekerja perlu menjalani kuarantin selama 14 hari untuk menghalang penularan wabak Covid-19.

“Sekiranya terdapat manamana pekerja yang mengalami selesema, mesti segera mendapatkan rawatan perubatan di hospital kerajaan. “Mereka tidak perlu menunggu gejala yang dikaitkan dengan Covid-19 seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas untuk menghantar pekerja ke hospital,” tegasnya.

Mengenai sebarang program tempatan yang melibatkan kumpulan besar di negeri ini, Douglas Uggah berkata, perkara itu masih boleh diteruskan.

“Tetapi bagi program yang melibatkan rakyat dari China, mereka masih tidak dibenarkan lagi sehingga notis lanjut dikeluarkan,” katanya. Beliau juga menjelaskan buat sementara ini Sarawak tidak mempunyai kes-kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI). Sebagai rekod, Jabatan Kesihatan telah memeriksa 8,004 pelawat di seluruh negeri.

Suara Sarawak