ARTIKEL

Gambar hiasan

Tidak Dibalas ‘Selamat Pagi’, Lelaki Acu Sabit Di Pasar Raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara selama 10 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mengugut seorang pekerja pasar raya menggunakan sebilah sabit, gara-gara sapaan selamat paginya tidak dibalas.

Wan Mazali, 43, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan sebilah sabit ke arah seorang lelaki berusia 18 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pasar raya terkemuka di kawasan Stutong, sekitar jam 9.30 pagi pada 8 Disember lalu.

Menurut fakta kes, semasa kejadian pengadu sedang membuka pasar raya apabila melihat seorang lelaki melambaikan tangan ke arahnya.

Bagaimanapun, pengadu tidak mengendahkan lambaian tersebut dan meneruskan kerja membuka pintu pasar raya serta menyimpan tiang besi.

Tertuduh kemudiannya menghampiri pengadu dan memanggilnya, namun pengadu terus menyimpan kunci mangga sebelum masuk ke dalam pasar raya bagi meneruskan tugasnya.

Tidak lama kemudian, tertuduh datang semula sambil membawa sebilah sabit lalu menghentakkannya di atas kaunter serta mengacukannya ke arah pengadu.

Tertuduh turut bertanya kepada pengadu mengenai perkara yang didakwa dikatakan kepadanya.

Pengadu menjelaskan bahawa dia tidak berkata apa-apa, sebelum tertuduh beredar dari tempat kejadian.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian kerana berang apabila sapaan selamat paginya tidak dibalas oleh pengadu.

Bimbang akan keselamatan diri, pengadu tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut, yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada 22 Disember lalu.

Hasil siasatan mendapati tertuduh dengan sengaja mengugut pengadu menggunakan senjata berbahaya, iaitu sebilah sabit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira