Tidak sempat ziarah abang ipar

SIBU: Hasrat seorang lelaki yang ingin menziarahi abang iparnya yang sakit di Sarikei tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam kemalangan di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa telah pergi ke Balai Polis Lanang bagi memohon permit perjalanan antara daerah bagi tujuan tersebut.

Mangsa kemudian meneruskan perjalanan ke Sarikei yang berakhir dengan tragedi meragut nyawanya sendiri.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Yii Kheng Ang, 64, dari Jalan Apollo di sini.

Abang iparnya difahamkan berusia 85 tahun dan kini sakit di Sarikei. Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1 petang itu, kereta mangsa bertembung dengan sebuah lori muatan tong gas di Jalan Paradom.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik Hospital Sibu di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya lagi, mangsa tersepit di dalam kenderaannya.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal keretanya lalu memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan lori dari arah bertentangan,” jelasnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suara Sarawak