SELANGOR: Skuad tinju Sarawak meraih tiga pingat gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 selepas tiga petinju tewas pada peringkat separuh akhir di Dewan Tun Abdullah Mohd. Salleh, petang tadi.

Bagaimanapun, Clavia Charlene Sudang Anak Kenedy berjaya mara ke final kategori Bantam Weight 57 kilogram (kg) wanita selepas menewaskan Nuraisyah Alyaa Mohd. Shaid dari Negeri Sembilan, 30-27.
Clavia akan beraksi pada final esok (Ahad) sebagai wakil tunggal Sarawak dalam acara tinju bagi memburu pingat emas.
Sementara itu, Khairil Hazami Sulam tewas 30-27 kepada petinju Kedah, Agilan A/L Saravanan dalam kategori Bantam Weight 54kg lelaki.
Davis Beckham Ak Mit pula terpaksa akur kepada petinju Sabah, Cliff Mijo dalam kategori Light Weight 60kg lelaki selepas pertarungannya dihentikan pada pusingan kedua.
Satu lagi pingat gangsa disumbangkan Abraham Samuel Anak Jerry dalam kategori Welter Weight 67kg lelaki selepas tewas tipis 29-28 kepada petinju Negeri Sembilan, Nurfaiz Syazwi Mohd. Shaid.
Ketua Jurulatih, Muhammad Helman Morni berkata, beliau berbangga dengan prestasi kesemua anak buahnya yang memberikan saingan terbaik dalam setiap perlawanan.
Sementara itu, Pengurus Pasukan, Datuk Johnny Ting Su King turut melahirkan rasa gembira dengan pencapaian skuad tinju Sarawak.
“Mereka telah memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan, cuma segalanya tidak memihak kepada Sarawak,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Clavia atas kejayaan mara ke final dan berharap petinju itu dapat mengekalkan prestasi terbaik bagi merealisasikan sasaran emas.



