SIBURAN: Seorang wanita tempatan berusia 57 tahun yang dikhuatiri hilang tiga hari lalu (6 Disember) ditemui selamat.
Mangsa berjaya dikesan oleh penduduk Kampung Mundai di sebuah kebun pada jarak 2.2 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa ditemui dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sekitar jam 9.54 pagi, pihak operasi pencarian mengesahkan mangsa telah dijumpai oleh pasukan operasi pencarian.
“Mangsa terus dibawa ke Hospital Serian oleh Unit EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya sambil mengesahkan operasi pencarian melibatkan kes itu ditamatkan serta-merta.
Terdahulu pada Sabtu (6 Disember), Balai Bomba dan Penyelamat menerima laporan kehilangan mangsa di Lorong 4, Kampung Simpok Padawan.
Operasi mencari dan mengesan mangsa terus dilakukan ketika itu sebelum mangsa ditemui selamat pada hari ketiga operasi.
Agensi lain yang turut terlibat dalam operasi pencarian ialah pihak polis, APM, PBS Simpok serta penduduk kampung.


