BEKENU: Tiga kampung yang dilanda banjir kilat di ulu Sungai Sibuti telah mengalami gangguan bekalan elektrik sejak semalam.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni, mengesahkan bahawa kampung-kampung tersebut adalah Kampung Bulau, Mutap, dan Sinop.


“Kesemua kampung ini terletak di tebingan Sungai Sibuti,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Beliau menjelaskan bahawa pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan talian elektrik akibat kerosakan salah satu tiang.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengedar bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas oleh bencana ini.
“Lawatan dan pemantauan banjir ke Kampung Bulau semalam melalui Jalan Kampung Tiris menunjukkan keadaan banjir di kawasan Tiris telah surut.
“Memandangkan ini adalah musim cuti sekolah, tiada masalah di sekolah. Namun, penduduk bimbang mengenai keselamatan harta benda, terutamanya kenderaan yang diletak di kawasan tinggi, yang mungkin dicuri,” tambahnya.



