LAWAS: Tiga kanak-kanak maut dalam insiden tragis apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Alza terjunam ke dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Sundar, Lawas, tengah hari tadi.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohamad Nazran Ag. Matasan, 10, Eryna Akifa Imani Zukri, 8, dan adik Mohd Fayard Mohd Azmi, 5.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu dilaporkan terperangkap di dalam kenderaan yang tenggelam selepas terjunam ke dalam sungai bersama-sama tujuh penumpang yang lain.
Kejadian berlaku sekitar 1:15 tengah hari, ketika kenderaan tersebut dalam perjalanan di Jalan Awat-Awat, Sundar.
Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sundar sebelum dibawa ke Hospital Lawas.
Pemandu kenderaan, Muhamad Azmi Bidin, 38, berjaya menyelamatkan enam penumpang yang lain setelah bertindak membuka pintu bonet belakang kenderaan.
Manakala, seorang lagi mangsa, Madieenatul Munawarah bt Mohd Azmi, 9, berada dalam keadaan kritikal dan dipindahkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Lawas digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Mayat ketiga-tiga mangsa kini berada di Hospital Lawas untuk tindakan lanjut.

