MARUDI: Tiga kawasan di Daerah Marudi masih belum menunjukkan penurunan paras air setakat 3.30 petang tadi.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Marudi, ia melibatkan kawasan SK Benawa, Kampung Benawa, dan Rh Magdeline Lubok Mulong , Marudi.
“Paras air di Rh Magdeline Lubok Mulong meningkat sehingga 0.80 meter diikuti SK Benawa 0.83 meter.
“Manakala paras air di kampung Benawa menunjukkan peningkatan sehingga satu kaki,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, keadaan paras air di Rh Ani Sungai Tuyut surut sepenuhnya berbanding semalam.
Difahamkan kenaikan air berlaku akibat air pasang besar dan hujan lebat berkala.
“Bagaimanapun ia masih dalam keadaan terkawal dan selamat setakat ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Penduduk dinasihatkan untuk sentiasa peka akan trend air dan berpindah jika tidak selamat.







