KUCHING: Tiga kemalangan maut direkodkan dalam sepanjang tempoh pelaksanaan Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina, yang bermula 28 Januari hingga semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata ia melibatkan seorang penunggang motosikal, seorang pemandu lori, dan seorang penumpang pacuan empat roda.
“Antara punca berlakunya kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 23/2025 ini adalah kerana kecuaian dan kelalaian pemandu kenderaan sendiri.
“Ini adalah faktor manusia, iaitu perlakuan seperti memandu melebihi had laju sehingga terbabas, bertembung dan langgar belakang,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak juga mengeluarkan sebanyak 3,804 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Terdahulu Mancha berkata, sepanjang tempoh enam hari pelaksanaan Op Selamat 23, sejumlah 283 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak.
Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 342 kes yang direkodkan pada tahun lepas.

