KUCHING: Seorang pengurus klinik, Wan Mohd Fairuz Wan Zainal Abidin, 33, terkejut apabila baki akaun banknya tiba-tiba memaparkan lebih RM1 bilion, sekali gus memberinya pengalaman luar biasa bergelar bilionair selama kira-kira sejam.
Kejadian sekitar 11 pagi, Rabu lalu, berlaku ketika beliau berada di rumah bersama isterinya dan mahu melakukan transaksi pemindahan wang seperti biasa.
Menurut Wan Mohd Fairuz, beliau pada mulanya hanya mahu melihat baki akaun yang disembunyikan menerusi aplikasi perbankan sebelum terkejut mendapati jumlah yang tertera jauh berbeza daripada kebiasaan.
Beliau kemudian log keluar dan masuk semula ke akaun berkenaan untuk mengesahkan jumlah itu, namun baki melebihi RM1 bilion masih dipaparkan.
“Saya memang terkejut dan buntu ketika itu kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Dalam keadaan tertanya-tanya, beliau kemudian menguji sama ada wang berkenaan boleh digunakan dengan memindahkan RM1,000 ke akaun bank miliknya yang lain.
Transaksi itu berjaya dilakukan, namun beliau segera memaklumkan perkara berkenaan kepada isterinya sebelum memindahkan semula wang tersebut ke akaun asal.
Isterinya turut terkejut, tetapi mengingatkannya supaya tidak mengambil mudah perkara itu dan mendapatkan penjelasan daripada pihak bank.
“Kami memilih untuk menghubungi pihak bank bagi mendapatkan penjelasan kerana bimbang penggunaan wang berkenaan, walaupun sesen, boleh membawa implikasi undang-undang,” katanya.
Wan Mohd Fairuz berkata, pihak bank memaklumkan bahawa akaunnya mengalami masalah teknikal yang sedang ditangani.
Susulan itu, akaunnya disekat sementara sehingga 4 petang pada hari sama bagi membolehkan masalah berkenaan diselesaikan.
Beliau berkata, selepas sekatan itu ditamatkan, baki luar biasa tersebut tidak lagi dipaparkan. Malah, transaksi berkaitan yang sebelum itu tertera turut hilang daripada rekod akaunnya.
Pengalaman itu sukar dilupakan kerana beliau hanya mahu melakukan urusan perbankan harian sebelum berdepan kejadian yang tidak disangka-sangka.
Beliau turut berkongsi tangkap layar akaun berkenaan di media sosial, yang kemudian tular dan mengundang pelbagai reaksi, termasuk gurauan warganet yang mahu menjadi saudara jauhnya selepas melihat baki melebihi RM1 bilion.


