KUCHING: Tiga orang pesalah muda masing-masing dijatuhi hukuman denda RM250 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki 1,237 karton rokok pelbagai jenama secara tidak sah.
Kesemua tertuduh masing-masing berusia 19 hingga 20 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958.
Majistret Mason Jaro menjatuhkan hukuman demikian selepas pendengaran laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat hari ini.
Mengikut pertuduhan, mereka melakukan kesalahan itu dalam sebuah premis di Gala City, Jalan Tun Jugah, kira-kira jam 3.30 petang, 23 Julai 2023.
Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah melakukan intipan dan serbuan ke sebuah premis dipercayai menyimpan rokok dan minuman keras seludup.
Hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit menjumpai sebanyak 1,237 karton rokok seludup dan ketiga-tiga tertuduh itu kemudian ditahan.
Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga tertuduh secara bersama-sama memiliki barang kes yang disyaki secara munasabah diperoleh secara tidak sah.


