KUCHING: Sebanyak tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bahagian Bintulu kekal beroperasi menempatkan mangsa banjir.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ia melibatkan 427 mangsa daripada 129 ketua isi rumah (KIR).
“Setakat ini trend pemindahan mangsa dilaporkan tidak berubah, menunjukkan keadaan masih memerlukan pemantauan berterusan pihak berkuasa,” ujar kenyataan.
PPS Dewan Suarah Bintulu kini menempatkan 184 mangsa daripada 53 KIR yang terdiri daripada penduduk RH. Olen, RH. Eloh, RH. Usah @ Selajat, Kampung Muslim Segan, RH. Alam dan RH. Jigan Setiam.
Sementara itu, PPS Balai Raya Sebauh menempatkan 148 mangsa daripada 48 KIR melibatkan penduduk dari kawasan Setinggan Belakang Pejabat Daerah, Taman Tedeum, Kampung Hilir Sebauh, Kampung Hulu Sebauh, Kampung Masjid, Rumah Kedai Hui Naa, Rumah Sewa Kampung Hulu, Kampung Pandan, Kuarters BDA, Segawan serta Sungai Upei Selezu.
Sebanyak 95 mangsa daripada 28 KIR pula ditempatkan di PPS Dewan Sri Kemena SMK Sebauh, melibatkan penduduk dari Rumah Eyus Sungai Sengam dan Kampung Hilir.
APM dan agensi berkaitan terus memantau situasi di lapangan serta memastikan keperluan asas mangsa banjir di PPS dipenuhi, selain bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang perubahan keadaan cuaca atau paras air.


