MUKAH: Tiga buah rumah struktur tidak kekal di Jalan Kampung Igan musnah dalam kebakaran petang tadi.
Dalam kejadian itu, sebuah rumah dilaporkan musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 20 peratus dan sebuah lagi hanya mengalami kemusnahan sebanyak 15 peratus.

Bagaimanapun, tiada mangsa cedera dilaporkan dan tiada kemalangan jiwa berlaku dalam insiden berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 6.44 petang.
“Balai Bomba dan Penyelamat Mukah segera mengatur gerak sepasukan anggota ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan oleh lapan anggota menggunakan tiga jentera dengan bantuan sumber air daripada pili bomba berhampiran.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


