KUCHING: Tiga orang sekawan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana melakukan gaduh gempar di tempat awam di hadapan sebuah bar di Jalan Song pada 18 Ogos lalu.
Dua remaja masing-masing berusia 18 tahun dan seorang rakan mereka, Loh Kong Wee, 21, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan bersama-sama di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mereka melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah bar di Jalan Song sekitar jam 4 pagi pada 18 Ogos lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pengadu sedang minum bersama dua rakannya, mereka didatangi tiga lelaki yang dikenali sebelum memukul pengadu.
Akibat serangan itu, pengadu mengalami luka pada lutut kaki kanan dan sakit pada pergelangan tangan kanan selepas dipukul menggunakan kerusi.
Dua rakan pengadu turut mengalami kecederaan ringan.
Pengadu yang tidak mengetahui punca mereka dipukul kemudian hadir ke balai polis untuk membuat laporan.
Kesemua tertuduh ditangkap pada 20 Ogos lalu di sebuah kedai makan di Batu Kawa sekitar jam 11.30 pagi.
Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada perasaan cemburu tertuduh kedua, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, terhadap pengadu yang merupakan bekas teman lelaki kekasihnya.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.


