Tiga SUAMI, tiga KISAH BERBEZA

DALAM tiga minggu ini, saya berdepan dengan tiga realiti kehidupan dari tiga sudut berbeza.

Pertamanya saya berdepan kisah suami yang bergantung hidup dengan isteri, kedua seorang lelaki yang pernah bergelar suami paling pokai dan ketiga bekas suami yang melangkah ke tali gantung kerana perasaan cemburu.

Tiga lelaki bergelar suami datang dengan tiga kisah berbeza.

Semuanya berkaitan dengan perasaan dan kehidupan berumah tangga.

Dan semuanya berpunca daripada perasaan cinta mendalam. Apabila menyunting berita tentang seorang suami menamatkan kisah cintanya terhadap isteri di tali gantung, terdetik di hati saya, betapa hebatnya cinta lelaki ini.

Mungkin dari sudut berbeza, orang menganggapnya kejam tetapi apabila berbicara soal perasaan, ia sebenarnya lebih kepada cinta yang melampau.

Tindakan drastik itu pasti didorong oleh perasaan bercampurbaur – kasih, cinta dan cemburu.

Difikir dengan akal waras, mana mungkin kita sanggup membunuh orang yang kita paling sayang.

Saya dan kalian semua kena realistik, semua kita ada perasaan cemburu. Siapa yang tidak sayang akan suami dan lelaki mana yang sanggup meragut nyawa isterinya.

Cemburu melampau juga berbahaya dalam hubungan. Mungkin ada di luar sana wanita lain seperti saya.

Saya wanita yang punyai perasaan cemburu yang minimum. Untuk apa sebenarnya kita perlu cemburu pada barang yang sudah kita miliki.

Jika kita bergelar isteri, mengapa harus cemburu kepada lelaki yang setiap hari kita kemaskan bajunya, basuh seluar dalamnya dan hidang makanannya, tidur serumah dengan kita.

Tidak perlu, semua itu cuma mainan perasaan. Memanglah sebagai manusia normal, cemburu itu harus ada tetapi biarlah dengan cara yang waras.

Cemburu melampau akan membawa padah, seperti kisah si suami tadi. Waima apa-apa yang didengarnya seperti isterinya curang dengan lelaki lain, biarlah.

Sama seperti isteri, apabila mendengar suami ada perempuan lain, cuba tarik nafas dalam-dalam dan fikir secara waras.

Jangan bertindak melulu tanpa berfikir panjang. Ada sesetengah isteri suka menyerang dan kibar bendera perang sebaik sahaja mendengar cerita suami main kayu tiga.

Tiada gunanya gigih mencari siapa dia, di mana dia berada kerana pada penghujung hari, percayalah semua wanita akan kembali kepada realiti kehidupan – suami boleh berpoligami mengikut hukum Islam.

Atau jika dia tidak menikahi kekasihnya, dia akan pulang kepada kita.

Jadi, simpankan perasaan cemburu itu ke tepi. Tiada manusia yang kekal memiliki dan dimiliki di dunia ini.

Perasaan sama seperti baju, suatu hari kita kena ganti kerana ia telah koyak. Bukan maknanya, kita perlu membuang perasaan kita seperti baju yang telah koyak tetapi kita perlu menggantinya atau tidak perlu mencari baju baharu.

Kisah kedua

Kisah kedua tentang cinta melampau kepada suami. Isterinya menceritakan dia menikahi suaminya walau pada hari pertama mengetahui suaminya penganggur terhormat.

Sehingga masuk tahun keenam dinikahi, lelaki itu masih sama tidur makan atas duit isteri. Ini dinamakan cinta tidak logikal.

Bagaimana seorang lelaki yang bergelar ketua keluarga boleh bertukar baju biawak hidup.

Bayangkan seorang lelaki menjamah makanan setiap hari hasil titik peluh isterinya yang bekerja sehingga 16 jam sehari.

Terus terang jika isteri itu anak saudara saya, pasti saya sudah nasihati itu bukan cinta luar biasa tetapi dipergunakan sebagai hamba abdi.

Sama seperti perasaan ibu lain di luar sana, jika saya dipanjangkan umur miliki seorang menantu lelaki, kriteria pertama saya tetapkan – menantu saya harus seorang lelaki rajin

Susah tidak apa tetapi perlu rajin bekerja kerana dengan sikap rajin dia boleh mengubah kehidupan anak saya.

Jika ketika menjadi anak gadis saya, hidup serba cukup walau tidak mewah, sekurang-kurangnya ketika menjadi isteri orang hidupnya lebih mewah dan senang.

Bohonglah jika ada ibu tersenyum gembira ketika menepung tawar menantu lelaki yang diketahuinya tiada kerja dan malas kerja.

Mana ada ibu di dunia ini mahu menyerahkan anaknya untuk dijaga biawak hidup, tidak ada.

“Dia bangun jam 1 tengah hari, makanan sudah terhidang, minyak kereta sudah dibeli dan saya tanggung semuanya,” kata isteri itu kepada saya.

Lebih hebat tidak cukup dùit, isterinya yang memikir untuk mencukupkan wang perbelanjaan mingguan.

Jangan menganggapnya sebagai nasib kerana sebagai manusia kita dituntut untuk mengubah nasib.

Nasib kita pada 10 tahun akan datang ditentukan oleh kita sendiri.

Sebelum menghantarnya pulang di muka pintu saya berpesan kepadanya, manusia ada sekeping hati.

Bahagikan hati itu kepada beberapa bahagian, berikan suku hati kepada suaminya, suku lagi untuk diri sendiri dan selebihnya untuk ruang lain.

Agak berbahaya untuk memberikan semua sekali kepada suaminya sahaja kerana dia terperangkap di dalamnya sehingga tiada ruang untuk melepaskan diri.

Saya tidak menjatuhkan hukum kepada suaminya, tetapi saya cukup kasihan melihatnya yang terperangkap dalam lingkaran cinta diciptanya sendiri.

Saya ada anak perempuan, saya ada anak saudara perempuan dan cukup terkesan dengan ceritanya lantas membayangkan jika anak saya mahupun anak saudara saya bertemu lelaki sebegitu.

Melihat ke dalam matanya, saya yakin dia cukup sengsara tetapi saya berharap ada cahaya ditemuinya pada hujung terowong.

Kisah ketiga

Kisah ketiga ialah suami yang terpaksa meninggalkan atau ditinggalkan anak isteri selepas menjadi lelaki terpokai di dunia.

Apa tidaknya, dia kehilangan harta benda dan saya percaya lebih membuatnya derita dia juga terpaksa berjauhan dengan anak-anaknya selepas bercerai dengan isterinya.

Lelaki ini tidak seperti dua suami di atas yang cemburu melampau dan jadi biawak hidup.

Dia seorang lelaki yang baik, bercakap dengan hormat kepada orang di sekelilingnya tetapi 10 tahun lalu, nasibnya sebagai suami orang kurang bertuah.

Dia pokai kerana jalan yang dipilihnya ketika itu silap kerana berhenti kerja.

Tetapi realitinya, tiada seorang manusia pun berhak memaksa kita mencintai kerja.

Dia memilih untuk hilang pekerjaan kerana tidak suka bidang yang ditawarkan.

Bagi saya, itu pilihan yang berani kerana jika kita berat hati untuk menggalas tanģgungjawab diberikan atau susah hati setiap kali turun kerja, baik berhenti.

Kerja yang tidak dilakukan dengan ikhlas hasilnya pun tidak ikhlas.

Untuk apa memaksa diri melakukan perkara yang kita tidak suka.

Sama seperti kisahnya, apabila pokai dia kehilangan segala-galanya, semuanya berpunca daripada keikhlasan bekerja dan keikhlasan menerima suami yang jatuh pada titik paling rendah.

Saya pun tidak berhak untuk membayangkan perasaan bekas isterinya ketika itu, tetapi ada ketikanya isteri harus menunggu sebentar jika suaminya tiba-tiba hilang punca pendapatan.

Dalam hidup yang realistik, mana ada rumah tanģga yang tidak goyah dan ada masalah kewangan.

Saya juga yakin, jika bekas isterinya sanggup menunggu sebentar sahaja lagi untuk suaminya mencatur semula kehidupan yang telah musnah, mungkin hari ini mereka kekal bahagia.

Tetapi setiap isteri punyai hati yang berbeza. Tidak semua isteri menjadi wanita yang baik dan tidak semua suami boleh menjadi lelaki hebat.

Tiga kisah daripada tiga suami berbeza, kaya pengajaran yang kita bòleh jadikan iktibar.

Pertamanya, kita tidak wajar cemburu melampau kerana akibatnya yang juga melampau.

Kedua, setiap gadis di luar sana harus memilih betul-betul bakal suami kerana salah pilih, mereka boleh merana sepanjang hidup.

Ketiga, wang adalah segala-galanya dalam rumah tangga, suami tanpa wang tidak dapat mengemudi kapal sampai ke pelabuhan.

Akhirnya, itulah kisah kehidupan seharian dan benar-benar berlaku dalam kehidupan kita.

Semua kita menyimpang kisah yang berbeza kerana tahap cinta kepada pasangan kita pun berbeza.

Cuma yakin, hidup ini cuma sementara, sayangi orang yang kita kasihi seadanya, luangkan masa selagi ada kerana selain jodoh kita tidak boleh dengan mata kasar, ajal juga begitu.

Berubah menjadi suami atau isteri yang lebih baik kerana hari ini mungkin hari terakhir kita tidur di sebelahnya. Wallahualam.

Suara Sarawak