Tiket mahal, ada guru kurang mampu

KUCHING: Guru memuji tindakan Sarawak Volunteers dalam menghulurkan bantuan untuk memudahkan perjalanan mereka kembali ke tempat bertugas. Guru dari SK Maludam Betong Tuan Mohd Shalihi Tuan Far berkata, dia gembira dan menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Sarawak Volunteers.

“Saya sudah menghubungi Sarawak Volunteers dan diminta untuk mengisi maklumat seperti nama, tempat bertugas dan sebagainya. “Saya agak kurang jelas dengan bentuk bantuan yang akan diberikan. Justeru menghubungi nombor yang tahtera untuk mendapatkan maklumat terperinci,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Tambah guru yang sudah berkhidmat 10 tahun di Sarawak itu, kakitangan pendidikan berharap kerajaan menjalinkan kerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung dengan isu guru kembali ke tempat bertugas. “Ia bagi memudahkan perjalanan kami termasuk menyediakan penerbangan yang membawa guru kembali ke tempat bertugas masing-masing.

“Ini kerana harga tiket sekarang terlalu mahal. Mungkin ada jalan alternatif bagi meringankan beban guru khususnya mereka yang sudah berkeluarga. “Saya berasal dari Kelantan dan untuk membeli tiket penerbangan ke Sarawak mencecah harga RM1,000 untuk sekali perjalanan,” katanya.

Beliau yang masih bujang terasa beban dengan harga tiket apatah lagi rakan-rakan yang sudah berkeluarga. Shalihi juga mendedahkan, jika sebelum tiket penerbangan ke Sarawak sekitar RM500 hingga RM700 tetapi kini harganya melonjak naik. “Kami juga menghadapi masalah dengan jadual penerbangan ke Sarawak.

Kita faham apa yang sedang dialami di seluruh negara. “Kami berharap agar semua perjalanan kami kembali ke tempat bertugas dipermudahkan,” jelasnya. Bagi Guru dari SK Sundar Lawas, Nazatul Masuri Bastari pula, beliau belum jelas mengenai bantuan Sarawak Volunteers tetapi berharap agar ada penyelesaian untuk membantu mereka kembali ke tempat bertugas terutamanya di kawasan pedalaman.

“Ia penting untuk memastikan perjalanan kembali ke tempat bertugas berjalan dengan lancar lebih-lebih lagi apabila guru dari Semenanjung perlu melakukan saringan dan sebagainya. “Saya sendiri perlu kembali ke tempat bertugas dan mengambil penerbangan dari Kuching ke Miri sebelum meneruskan perjalanan ke Lawas pada hari seterusnya,” ujarnya.

Nazatul menambah, bantuan Sarawak Volunteers kepada guru sangat dihargai dan beliau bersyukur kerana rakan-rakan guru yang akan kembali ke tempat bertugas akan dipermudahkan.

“Bagaimanapun, saya berharap agar ada bantuan yang akan diberikan kepada akan guru yang bertugas di pedalaman nanti terutama segi kelancaran perjalanan ketika musim Covid-19,” ujarnya.