Timang bola 91 kali

ADIK Muhammad Izz Zaqwan masih mengekalkan tempat teratas dalam Pertandingan Cabaran Menimang Bola Dari Rumah Kuching FA setelah berjaya menimang bola 91 kali dalam 30 saat.

Pertandingan yang masuk hari kedua terakhir sebelum ditutup pada 14 April ini menyaksikan pelbagai video telah dihantar ke laman sosial rasmi facebook Kuching FA.

Menariknya, Adik Izz Zaqwan yang berusia 11 tahun dan berasal dari Senawang, Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kedudukan walaupun berdepan cabaran yang agak sengit daripada para peserta lain.

Beliau juga hampir mengalahkan jumlah timangan bola pemain import Kuching FA iaitu Yuki Tanigawa, 92 timangan.

Sebelum ini, video pertama beliau juga telah memecah rekod para peserta lain dengan jumlah 87 timangan dalam masa 30 saat.

Setakat ini, Kuching FA telah menyenaraikan sebelas peserta di kedudukan teratas iaitu Bzkly Belle (86), Rayyan Miqhail (81), Lourence Seling Jackson (80), Mohd Afiq (75), Dickey Larry (74), dan Eyka Ricca II (70). Selain itu, Redha Afifi (70), Zhahirul Zhaki (69), Mohd Zulfikrie (66) dan Aiman Azizul (64)

Pertandingan anjuran Kuching FA dengan kerjasama Yakult Malaysia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peminat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Suara Sarawak