KUCHING: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM digesa supaya lebih proaktif mengambil tindakan bagi mengesan salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota polis.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, meskipun beberapa arahan telah dikeluarkan sebagai peringatan dan pengajaran, namun salah laku jenayah, dadah dan disiplin melibatkan pegawai polis masih lagi berlaku.
“Semua ketua jabatan, ketua formasi dan ketua polis daerah perlu memastikan aspek penyeliaan secara pemantauan rapi dilaksanakan dengan berkesan dan dipantau mengikut garis panduan yang ditetapkan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPK Sarawak November 2024 di IPK di sini, hari ini.

Tambah Mancha, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap mana-mana pegawai polis didapati melanggar peraturan dan disiplin tanpa sebarang kompromi mengikut peraturan undang- undang.
Katanya, arahan dan dasar sedia ada perlu disampaikan kepada pegawai yang diselia untuk dipatuhi.
“Sehubungan itu, perlaksanaan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) dan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 hendaklah dipertingkatkan dengan lebih menyeluruh.
“Tindakan kepada penyelia perlu diambil jika didapati cuai dan gagal menyelia sehingga berlakunya salah laku pegawai yang diselia.
“Semua peringkat penyelia perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab secara bersama untuk memastikan sistem yang diwujudkan ini dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.


