Tindakan tegas naik harga barang

SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah terutamanya harga barang kawalan.

Ketua KPDNHEP Cawangan Sibu Kelyn Bolhassan berkata, tindakan tegas diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Pegawai penguat kuasa kami sentiasa menjalankan pemeriksaan berterusan dan memantau kenaikan harga barangan di Daerah Sibu.

“Justeru itu, ketika pegawai kami menjalankan pemeriksaan di kawasan Permai semalam (27 April), tindakan telah diambil terhadap sebuah premis perniagaan kerana menjual barang kawalan iaitu gula pasir bertapis kasar (satu kilogram) melebihi harga kawalan yang ditetapkan,” katanya di sini, semalam.

Peniaga tersebut jelasnya, telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 iaitu mana-mana orang yang menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barangan harga terkawal atau menyediakan atau menawarkan untuk menyediakan apa-apa perkhidmatan caj terkawal atau mengutip deposit selain mengikut harga atau caj yang ditentukan oleh pengawal di bawah Seksyen 4, 5 atau 7 melakukan suatu kesalahan.

Menurutnya, peniaga terbabit telah dikompaun sebanyak RM5,000. Kelyn berkata, terdapat dua jenis gula yang telah ditetapkan sebagai barangan harga terkawal iaitu gula pasir putih bertapis kasar (satu kilogram) iaitu harga borong RM2.77, harga runcit RM2.85 dan gula pasir putih bertapis halus (satu kilogram): harga borong RM2.85, harga runcit RM2.95.

“Kedua-dua jenis gula yang dikawal harganya secara perundangan di bawah peruntukan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.3) 2018,” tambahnya lagi.

Beliau memberitahu, pihak kementerian mengingatkan peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan menjalankan urus niaga dengan beretika atau tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Orang ramai jelas Kelyn, diharap dapat membantu menyalurkan maklumat atau aduan mengenai kegiatan peniaga yang tidak beretika kepada KPDNHEP.

“Apa-apa aduan yang berkenaan kegiatan peniaga hendaklah disalurkan kepada kami melalui Aplikasi telefon pintar Ez ADU, Website: e-aduan.kpdnhep.gov.my, Emel ke alamat e-aduan@kpndhep.gov.my, Lapor/hadir ke Pejabat KPDNHEP Cawangan Sibu di Tingkat 1, Wisma Persekutuan Blok 3, Persiaran Brooke, 96000 Sibu, Sarawak, hubungi nombor telefon pejabat KPDNHEP Cawangan Sibu: 084- 335622 atau WhatsApp ke 019 – 2794317,” tambahnya.

Suara Sarawak