KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak mengambil tindakan tegas terhadap operator kenderaan perdagangan yang beroperasi tanpa lesen sah yang masih berleluasa di negeri ini.
Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong Feng Nian, berkata situasi ini amat membimbangkan kerana ramai operator terbabit menjalankan kerja untuk syarikat berkaitan kerajaan dan projek kerajaan.
“Pematuhan terhadap keperluan lesen bukan sekadar formaliti. Lesen memastikan operator memenuhi piawaian keselamatan, insurans dan peraturan minimum bagi melindungi pengguna jalan raya serta orang awam.
“Operator yang gagal memperoleh lesen sah bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga mendedahkan diri dan orang awam kepada risiko serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menekankan isu perlindungan insurans, memandangkan jika berlaku kemalangan melibatkan operator tanpa lesen, pihak insurans mungkin enggan menunaikan tuntutan kerana ketidakpatuhan terhadap keperluan undang-undang. Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa tidak menerima pampasan sewajarnya serta menimbulkan beban kewangan dan undang-undang yang tidak perlu.
Tegas Michael Kong lagi, semua pihak termasuk agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan mesti memastikan kontraktor yang dilantik memiliki lesen sah sebelum memulakan kerja.
“Melantik operator tanpa lesen adalah tidak bertanggungjawab dan menjejaskan keselamatan awam,” ujarnya.

Beliau menyeru semua operator kenderaan perdagangan yang masih belum memperoleh lesen daripada LPKP Sarawak supaya mengambil tindakan segera untuk menormalisasikan operasi mereka. Proses permohonan diwujudkan bagi memudahkan pematuhan, bukannya menghalang perniagaan yang sah.
Dalam masa sama, beberapa aduan telah dikemukakan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengenai operasi tanpa lesen dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan terhadap pesalah mengikut undang-undang.
“Keselamatan awam dan pematuhan peraturan tidak akan dikompromi. Undang-undang terpakai kepada semua, dan mereka yang mengabaikannya mesti bersedia menghadapi akibatnya,” tegas beliau.


