SIBU: Kejohanan Tinju Bakat dan Remaja Sibu Peringkat Kebangsaan Edisi ke-2 2026 akan membuka tirainya pada Isnin depan (27 Julai).
Kejohanan itu bakal menyaksikan pertembungan penuh dramatik membabitkan 198 petinju muda dari pelbagai kelab di seluruh negeri ini.
Turut bertanding ialah petinju handalan dari Sabah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, selain wakil dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
Pengerusi Kejohanan, Zurkarnain Majidi memberitahu bahawa himpunan petinju terbabit merangkumi 165 lelaki dan 33 wanita.
“Sambutan amat memberangsangkan untuk penganjuran kali ini.
“Apa yang menariknya, petinju yang turut serta ini mewakili pelbagai kelab dari seluruh Sarawak, Sabah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor serta wakil dari negara jiran,” ujar Zurkarnain kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Zurkarnain, kejohanan anjuran Persatuan Tinju Bahagian Sibu dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu akan berlangsung selama enam hari sehingga 1 Ogos depan di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Sibu.
“Ini merupakan edisi kedua penganjurannya, jadi pihak kita menjangka perlawanan yang dilangsungkan pasti menarik.
“Difahamkan petinju yang mewakili kelab masing-masing sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi kejohanan kali ini,” tambah Zurkarnain.
Beliau mengakui bahawa penganjuran kejohanan ini bukan sahaja memberi peluang kepada petinju yang terlibat untuk memperlihatkan bakat masing-masing, malah pada masa sama berperanan sebagai landasan untuk melahirkan petinju baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.



