BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menyalurkan sumbangan wang ihsan kepada mangsa kebakaran rumah panjang di Padang Maleng, Batu 37, Jalan Bintulu-Miri bagi membantu meringankan beban keluarga yang terjejas.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas, Steven Kong Kai Seng, yang turun padang mewakili Tiong menyantuni sekali gus meninjau keperluan penduduk terjejas, petang tadi.
Steven berkata, bantuan ini merupakan tanda keprihatinan Tiong dengan nasib mangsa yang kehilangan kediaman dan harta benda dalam kejadian kebakaran berkenaan.
Menurutnya, Tiong sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang dan akan memastikan bantuan sewajarnya disalurkan kepada mereka yang memerlukan, terutama ketika berdepan musibah.
“Beliau menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terlibat dan berharap mereka terus tabah menghadapi dugaan ini.
“Beliau juga berharap bantuan yang disalurkan dapat sedikit banyak membantu meringankan beban mangsa dalam memenuhi keperluan harian sementara menunggu proses pemulihan dan bantuan susulan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Dalam lawatan itu, Steven turut meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa serta mendengar sendiri keadaan dan keperluan semasa mereka selepas kejadian tersebut.
Beliau berkata, pihak Ahli Parlimen Bintulu akan terus memantau perkembangan kebajikan mangsa dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan berkesan.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, sebanyak 23 pintu rumah panjang berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang menyebabkan penghuni kehilangan tempat tinggal serta harta benda.


