ARTIKEL

Johnny Pang bersama jawatankuasa baharu Kelab Toastmasters Bintulu Sesi 2027 memotong kek secara simbolik bagi merasmikan upacara pelantikan jawatankuasa baharu pertubuhan berkenaan.

Toastmasters Bintulu bina kemahiran komunikasi generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kejayaan Kelab Toastmasters Bintulu menganjurkan lebih daripada 560 sesi pertemuan sepanjang 27 tahun penubuhannya membuktikan komitmen berterusan organisasi itu dalam melahirkan generasi baharu yang berkemahiran dalam komunikasi dan kepimpinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata kelangsungan sesebuah organisasi dalam tempoh yang panjang bukan hanya diukur melalui jumlah program yang dilaksanakan, tetapi juga melalui keupayaannya melahirkan pelapis yang bersedia meneruskan legasi kepimpinan.

Yang Wai Fang menyampaikan cenderahati kepada Johnny Pang.

Beliau berkata Kelab Toastmasters Bintulu berjaya memainkan peranan penting sebagai platform pembangunan diri yang membantu golongan muda membina keyakinan, mengasah kemahiran komunikasi serta mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin masa depan.

“Tempoh 27 tahun dan lebih 560 sesi pertemuan merupakan pencapaian yang membanggakan.

Namun yang lebih penting ialah kemampuan organisasi ini melahirkan anggota baharu yang bersedia tampil ke hadapan dan mengambil alih tanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal pertukaran jawatan, tetapi proses memindahkan pengalaman, pengetahuan dan nilai kepimpinan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Upacara Pelantikan Jawatankuasa Kelab Toastmasters Bintulu Kali Ke-27 di sini, hari ini (13 September 2026).

Menurut Johnny Pang, kemahiran komunikasi kini menjadi semakin penting dalam era digital yang menyaksikan maklumat dan pandangan disebarkan dengan pantas melalui pelbagai platform, khususnya media sosial.

Katanya, komunikasi yang berkesan bukan sekadar kemampuan bercakap dengan lancar atau berucap di hadapan khalayak, tetapi turut melibatkan keupayaan menyampaikan idea yang kompleks secara jelas, tepat dan mudah difahami.

“Pada masa sama, seorang komunikator yang baik juga perlu memiliki kemahiran mendengar.

Seorang pemimpin yang berkesan bukan hanya pandai bercakap, tetapi mampu memahami dan menghargai pandangan yang berbeza.

“Dalam dunia yang semakin terbuka hari ini, setiap individu mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat.

Oleh itu, kita perlu belajar menyampaikan idea dengan jelas sambil mendengar dan memahami pandangan orang lain bagi mencari titik persamaan,” ujarnya.

Beliau berkata latihan dan pengalaman berucap secara berterusan mampu membentuk keyakinan diri, meningkatkan kemahiran berfikir serta mengembangkan keupayaan seseorang untuk memimpin.

Menurutnya, setiap peluang untuk berucap di hadapan khalayak merupakan proses pembelajaran yang membantu individu mengenal pasti kelemahan, menerima maklum balas secara positif dan menambah baik kemahiran komunikasi.

“Toastmasters bukan sekadar melahirkan pemidato yang baik, tetapi turut membentuk individu yang mampu mempengaruhi masyarakat secara positif serta menyumbang kepada pembangunan komuniti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kelab Toastmasters Bintulu terus menjadi platform yang menggalakkan golongan muda berani mencuba perkara baharu, tidak takut melakukan kesilapan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain dalam proses pembelajaran.

Katanya, budaya sedemikian penting bagi melahirkan lebih ramai komunikator dan pemimpin yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah mempunyai nilai kemanusiaan serta semangat khidmat kepada masyarakat.

Pada majlis yang sama, Johnny Pang turut mengucapkan tahniah kepada Yang Wai Fang atas pelantikannya sebagai Presiden Kelab Toastmasters Bintulu yang baharu bersama barisan jawatankuasa sesi ke-27, sambil berharap mereka dapat meneruskan kecemerlangan dan legasi yang dibina kelab itu sejak hampir tiga dekad lalu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU