Tolong vaksinkan anjing anda

SIBU: Pengerusi Majlis Perban-daran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh kecewa terhadap sambutan Program Vaksinasi Percuma anjuran Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sibu (DVSS) bagi Operasi Pencegahan Penyakit Rabies Bahagian Sibu yang diadakan di Grand Heights, Jalan Hulu Lanang di sini, kelmarin.

Beliau yang sempat meninjau program tersebut memberitahu, hanya seorang pemilik anjing mendaftar bagi mendapatkan perkhidmatan percuma tersebut.

“Kesedaran masyarakat di sini masih kurang mengenai bahayanya penyakit rabies ini. “Saya difahamkan oleh pihak DVSS hanya seorang mendaftar sepanjang pagi tadi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di venue program tersebut.

Menurut Ting lagi, antara alasan mengapa program itu tidak mendapat sambutan kerana pemilik anjing menganggap anjing yang dikurung tidak perlu mendapatkan vaksin percuma itu.

“Ini satu alasan yang amat mengecewakan. Walaupun anjing anda dikurung di dalam rumah, tidak bermaksud ia tidak boleh divaksin. “Lebih baik jika kita memberi vaksin bagi memastikan haiwan peliharaan anda itu bebas rabies sepenuhnya,” tegas beliau lagi.

Bagi menhgalakkan lebih ramai lagi pemilik anjing berbuat demikian Ting berkata, beliau akan memastikan setiap anjing yang dilesenkan di MPS wajib diberi vaksin antirabies. “Kita tiada cara lain untuk mengalakkan pemilik anjing menyedari akan bahayanya penyakit rabies ini.

“Kedua, hanya kesedaran yang tinggi sahaja akan memungkinkan kita membanteras wabak bahaya ini,” katanya. Ting menggesa dalam program DVSS akan datang di venue-venue lain beliau mahu lebih ramai lagi pemilik anjing memberikan vaksinasi kepada anjing mereka.

“Ia percuma dan tiada bayaran langsung. Ia adalah usaha bersepadu kerajaan dengan agensi-agensi berkenaan untuk memerangi rabies di Sibu. Sibu kawasan panas rabies. Orang ramai harus tahu dan sedar tentang ini,” ujarnya lagi.

Tinjauan di venue yang sama ada beberapa pemilik anjing tampil menghantar haiwan kesayangan mereka mendapatkan vaksinasi tersebut. Namun kata Ting, jumlah itu masih tidak memberangsangkan walaupun ada peningkatan jumlah pemilik anjing.

“Sambutannya masih juga kurang memberangsangkan. Saya menasihati pemilik anjing supaya datang ke lokasi lain selepas ini.

“Ini kerana operasi pencegahan penyakit rabies secara besar-besaran di bahagian ini akan terus diadakan sehingga 30 Julai ini di lokasi yang telah dimaklumkan sebelum ini,” tambah Ting.