MUKAH: Amalan kunjungan rumah terbuka sempena perayaan Krismas bukan sekadar acara sosial, malah tradisi unik di Sarawak yang mencerminkan keharmonian serta keutuhan perpaduan masyarakat majmuk.
ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, amalan ini berperanan sebagai medium penting dalam memupuk keharmonian, sekali gus memperkukuh hubungan kepercayaan antara rakyat dengan kerajaan.
“Tradisi rumah terbuka yang diamalkan sejak sekian lama ini mencerminkan nilai murni masyarakat Sarawak yang sentiasa mengutamakan perpaduan dan kebersamaan.
“Kunjungan rumah ini juga melambangkan kehidupan masyarakat Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni serta menghormati antara satu sama yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka di kediamannya, semalam.
Katanya, menerusi tradisi tersebut, pelbagai kaum dan agama berpeluang untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama yang lain dan menikmati pelbagai juadah istimewa.
Beliau turut berharap agar tradisi berkenaan terus dipelihara dan diperkasakan sebagai lambang kekuatan masyarakat Sarawak.







