LUNDU: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun mengalami kecederaan melecur dalam insiden kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai dan sebuah rumah kediaman di Kampung Raso 2, Jalan Raso 2, di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan bahawa mangsa telah dikejarkan ke Hospital Bau oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan segera sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah kedai jenis struktur kekal berukuran 40 kali 40 kaki yang musnah 30 peratus, manakala sebuah rumah kediaman seluas 100 kali 50 kaki pula mengalami kerosakan sebanyak 15 peratus.
“Api dilaporkan berjaya dikawal dan dipadamkan oleh penduduk setempat sebelum ketibaan pasukan bomba,” jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan dan tiba pada jam 10:10 pagi. Operasi pemadaman dan pemeriksaan sepenuhnya ditamatkan pada jam 11:10 pagi.


