LUNDU: Mayat mangsa terakhir tragedi perahu penambang karam di Sungai Kayan, Kampung Selampit di Lundu, Selasa lalu ditemui lemas, awal pagi tadi.
Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, mangsa, Alsma Jithil, 14, ditemui terapung kira-kira 100 meter dari tempat kejadian oleh penduduk kampung pada jam 6.38 pagi.
“Mayat mangsa kemudian diambil oleh anggota Sarawak Coast Guard yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tiong, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan setelah semua ketiga-tiga mangsa ditemui.
Katanya, dua mangsa tragedi tersebut ditemui pasukan CARILAMAT pada hari kedua operasi yang dijalankan semalam.

“Mangsa pertama, Vilkie Wilson, pelajar berusia 15 tahun dijumpai timbul sekitar jam 11.58 pagi kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
“Manakala mayat kedua pula, yang identitinya disahkan sebagai Helena Fasha Petrus, 16, ditemui sekitar jam 5.30 petang semalam, kira-kira 1 kilometer di hilir lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan sempurna dan masih dalam berpakaian seragam sekolah,” katanya.
Dalam kejadian pada 6.10 pagi Selasa lalu, seramai 15 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, seorang pelajar SMK Lundu dan empat penduduk kampung termasuk pengemudi menaiki perahu tambang berkenaan.
Perahu yang membawa 20 penumpang, kebanyakannya pelajar SMK Senibong sedang menuju ke seberang sungai sebelum karam.
Seramai 13 pelajar sekolah iaitu tujuh lelaki dan enam perempuan berjaya diselamatkan, bersama-sama dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa manakala kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan arus sungai deras.

