KUCHING: Pelaksanaan Op Selamat 26 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak menyaksikan penurunan jumlah kemalangan jalan raya, namun mencatatkan peningkatan dari segi kadar kematian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal memaklumkan operasi selama enam hari bermula 19 hingga 24 Mac itu merekodkan 283 kes kemalangan, berkurangkan sebanyak 14.8 peratus berbanding 332 kes pada tahun lalu.
“Bagaimanapun, jumlah kematian meningkat kepada lapan orang pada tahun 2026 berbanding lima individu pada 2025, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 60 peratus.
“Analisis mendapati golongan yang paling tinggi terlibat dalam kemalangan maut ialah pengguna motokar dengan lima kematian (62.5%), diikuti dua pengguna motosikal dan seorang pengayuh basikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, punca utama nahas berpunca daripada kecuaian pemandu termasuk memandu melebihi had laju sehingga terbabas, pertembungan hadapan, kecuaian semasa keluar masuk simpang serta pelanggaran dari arah belakang.
Dalam pada itu, sebanyak 14,723 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang tempoh operasi tersebut, melonjak hampir 120 peratus berbanding 6,707 saman pada operasi sebelumnya.
“Peningkatan ini selari dengan pendekatan Op Selamat 26 yang menekankan tindakan proaktif bagi mencegah kemalangan serta penguatkuasaan secara menyeluruh.
“Langkah ini susulan penempatan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di lokasi strategik bagi memantau dan menguatkuasakan tindakan terhadap lima kesalahan utama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan diri dan orang lain.


