KUCHING: Seluruh kawasan di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengalami transformasi menjadi bandar raya pintar melalui pelan pembangunan jangka panjang Kerajaan Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rancangan tersebut melibatkan naik taraf pelbagai infrastruktur seperti jaringan jal an raya, jambatan, bekalan air dan elektrik, pengangkutan awam serta termasuk mewujudkan kawasan perumahan baharu.
“Infrastruktur utama yang akan dipertingkatkan adalah memperbesarkan jaringan jalan raya besar dan kecil serta jambatan baharu bagi menghubungkan terus beberapa kawasan.
“Antaranya pembinaan jalan baharu empat lorong dari bulatan Yayasan Sarawak terus ke Damai bagi mengurangkan kesesakan yang merangkumi laluan khas Transit Aliran Automasi (ART), selain lorong pejalan kaki dan berbasikal.
Dianggarkan kos penambahbaikan jaringan ini sahaja sekitar RM1 bilion,” katanya.
Tambahnya lagi, dengan penambahbaikan serta pembinaan jaringan jalan raya itu sekali gus bakal membuka kawasan-kawasan perumahan baharu mampu milik yang lebih berkualiti bagi menampung pertambahan penduduk.
“Selain itu, Kerajaan Sarawak telah meminta syarikat perunding berpengalaman melaksanakan kajian pembangunan teratur melibatkan kampung-kampung yang sudah lama wujud di kawasan DBKU.
“Ini kerana kawasan rumah di perkampungan mereka seperti Samariang Pinggir, Kampung Samariang ini tidak tersusun dan sempit.
Maka kita perlu melakukan kajian terperinci agar pembangunannya dapat teratur seperti yang dilaksanakan di Darul Hana.
“Kajian akan dijalankan oleh konsultan yang sama mengendalikan projek di Bukit Assek, Sibu dan mereka juga berpengalaman kendalikan projek serupa di Singapura dan Belanda,” jelasnya.
Mengulas lanjut Abang Johari berkata, projek pembangunan semula kampungkampung itu sangat penting bagi menjayakan konsep bandar pintar Kuching, di samping mengekalkan identiti budaya dan warisan Sarawak.
“Saya hendak menekankan di sini bahawa semua perancangan itu adalah jangka panjang sehingga tahun 2030, malah sehingga selepas 2030.
Bermakna pelaksanaan dan peruntukan kewangan juak dikeluarkan secara berperingkat-peringkat.
“Malah semua pembangunan ini bukan hanya melibatkan kawasan DBKU, tetapi sehingga ke Sejingkat, Samarahan, Lundu dan Sematan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak bahawa kos perlaksanaan projek-projek berkenaan nanti akan menelan perbelanjaan yang besar namun yakin dengan keutuhan kewangan kerajaan Sarawak , ia mampu dicapai seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.


