BAU: Gereja St Teresa Avila Kampung Stenggang menerima peruntukan berjumlah RM300,000 di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi melaksanakan kerja penambahbaikan struktur bangunan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang memberitahu peruntukan tersebut akan disalurkan khusus bagi mengganti bumbung lama yang mengalami masalah kebocoran di bahagian belakang bangunan gereja tersebut.
Beliau menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha pembangunan komuniti di kawasan yang diwakilinya bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
“Ini merangkumi aspek kebajikan, pendidikan dan keharmonian agama melalui kerjasama erat antara pihak gereja, kepimpinan masyarakat serta wakil rakyat,” katanya semasa berucap pada majlis “St Teresa Avila Church Appreciation Night & Christmas Buffet Dinner” di Dewan SK St Teresa Stenggang di sini, pada malam tadi.
Billy menambah bahawa sesebuah gereja bukan sekadar terbina melalui struktur fizikal, sebaliknya berdiri kukuh atas dasar iman, kesetiaan dan semangat pelayanan yang tinggi dalam kalangan penganutnya.
Menurut beliau, kemajuan yang dicapai oleh Gereja St Teresa Avila merupakan hasil usaha kolektif pelbagai pihak yang merangkumi sumbangan tenaga, masa serta doa yang berterusan.
“Saya mendoakan agar Gereja St Teresa Avila terus diberkati, kepimpinannya diberikan hikmah dan kekuatan, serta seluruh komuniti sentiasa hidup dalam suasana damai, penuh kasih dan bersatu padu,” ujarnya.



