ARTIKEL

Tubuh bomba sukarela di kawasan terpencil

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Setiap kawasan terpencil di negeri ini wajar ditubuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi mewujudkan kesedaran tentang keselamatan kebakaran.

ADUN Kalaka Mohamad Duri berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) lazimnya terletak di pusat pentadbiran sesebuah daerah atau berhampiran pekan atau pusat bandar.

“Apabila berlaku kebakaran di kawasan yang terpencil misalnya dalam jarak 50 kilometer atau lebih jauh, masa respons mereka agak lama.

“Akhirnya impak kebakaran menjadi teruk. Kadang-kadang apabila bomba tiba, sesebuah premis sudah menjadi abu.

“Justeru di sini saya melihat pentingnya diwujudkan PBS di setiap kawasan terpencil, yang dirasakan relevan oleh pasukan bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya selepas mengadakan perjumpaan bersama-sama Tuai Rumah Edmund Kumbong serta ahli PBS Sungai Ruan di sini, semalam.

Jelas Mohamad, pentingnya penubuhan PBS di kawasan kawasan terpencil bagi memastikan keselamatan masyarakat sekitarnya dapat dijaga.

“Di kawasan Saratok sememangnya terdapat BBP, namun jika ada PBS, mereka boleh bertindak sebagai pasukan bertindak pertama untuk melakukan kawalan awal sebelum kehadiran pasukan bomba.

“Ini mengelakkan kesan insiden yang lebih buruk.

“Cuma ahli-ahli PBS, iaitu dalam kalangan penduduk itu sendiri harus menunjukkan komitmen dan kesanggupan, tanpa mengharapkan apa-apa,” ujarnya.

Mohamad mengakui sering mengadakan perjumpaan dengan Ketua Bomba dan Penyelamat Saratok Putra Ila untuk membincangkan isu-isu keselamatan di kawasan DUN Kalaka.

“Saya berharap beliau dan pasukannya dapat membantu menubuhkan beberapa lagi PBS.

“Namun apa yang paling penting adalah kesedaran masyarakat itu sendiri, yang sedia belajar ilmu dan kemahiran pencegahan awal kebakaran.

“Dalam masa sama apa yang lebih utama ialah elakkan sindrom lupa, lalai dan leka (3L) kerana ini adalah salah satu penyakit kepada semua dalam aspek keselamatan kebakaran,” tambahnya.

Beliau juga mahu setiap institusi pendidikan awal kanakkanak seperti tabika, tadika dan taska menubuhkan Kelab 3K atau Keselamatan Kebakaran Kanakkanak masing-masing.

Pada perjumpaan dengan PBS Sungai Ruan yang diketuai Kadam Nelson bersama-sama 58 ahli, telah dibincangkan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU