SIBU: Kerajaan Sarawak digesa untuk menubuhkan kaunter perkhidmatan khusus di Sibu bagi membantu penerima Skim Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) menyelesaikan isu teknikal yang dihadapi semasa pendaftaran dan penggunaan e-dompet S Pay Global.
Ahli Jawatankuasa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak merangkap Pengerusi DAP Dudong Baru, Stanley Chiew, berkata langkah ini penting untuk memastikan golongan rentan, khususnya warga emas, dapat mengakses bantuan yang mereka perlukan tanpa masalah teknikal.
“Kaunter khusus ini dapat menyediakan sokongan teknikal secara bersemuka kepada penduduk di kawasan tengah, terutama bagi mereka yang kurang arif tentang teknologi digital.
“Ia juga akan mempercepatkan proses penyelesaian isu dan memastikan bantuan sampai kepada penerima dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ia dikeluarkan ekoran pengumuman terbaharu Kerajaan Sarawak tentang pelaksanaan SKAS melalui e-dompet S Pay Global.
Stanley menekankan bahawa ramai penerima bantuan, terutamanya golongan warga emas, menghadapi kesukaran besar kerana mereka tidak biasa menggunakan aplikasi e-dompet.
Menurutnya, ramai orang, khususnya warga emas dan kumpulan rentan, telah mendapatkan bantuan menyemak status SKAS di Pusat Khidmat Parlimen Lanang yang diketuai oleh Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng, sejak Khamis lepas.
“Walaupun selepas kami membantu mereka mendaftar, ramai masih tidak tahu cara menggunakan aplikasi ini.
“Hal ini menunjukkan perlunya sokongan tambahan bagi golongan ini,” tambahnya, yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Lanang.
Beliau juga mendakwa terdapat individu yang tidak dapat mengakses akaun S Pay Global mereka kerana lupa maklumat akaun (ID Sarawak) atau mengalami perubahan nombor telefon dan e-mel.
“Masalah seperti ini, ditambah pula dengan talian bantuan teknikal dari Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) yang sering sibuk atau tidak dijawab, menjadikan proses pengagihan bantuan menjadi lebih rumit.
“Masalah bahasa juga menambah lagi cabaran,” tegasnya.
Selain penubuhan kaunter khusus, Stanley turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan alternatif lain, seperti penggunaan MyKad, bagi pengagihan bantuan, seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Pendekatan alternatif ini dapat memastikan golongan yang tidak memiliki telefon pintar atau tidak mahir menggunakan teknologi turut mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan,” katanya.
Stanley percaya penubuhan kaunter perkhidmatan khusus ini adalah langkah penting untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memastikan tiada penerima yang tercicir.


