Tugas ahli politik berkhidmat kepada rakyat

BINTULU: Tugas dan tanggungjawab utama pemimpin dan ahli parti politik adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata pihak terbabit tidak seharusnya menjadikan parti politik atau keahlian mereka sebagai platform untuk mengejar populariti.

Sebaliknya, mereka perlu berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan “humble” dan bukan untuk kepentingan peribadi agar pengundi-pengundi muda tertarik dengan perjuangan parti, katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata ahli parti juga perlu berusaha meraih sokongan rakyat terutamanya menarik penyertaan golongan profesional dan intelek muda dalam PBB untuk bersama-sama berjuang untuk kepentingan masa depan bangsa, agama dan negara.

Pintu PBB khususnya N67 Jepak terbuka luas kepada mereka yang ikhlas mahu berkhidmat kepada rakyat”,katanya dalam ucapan ringkas penyerahan kad keahlian kepada ahli baharu parti itu melibatkan kawasan Setiam, Semanok, Jepak dan Serupai, semalam.

Beliau turut menyarankan ahli Pergerakan Wanita dan Pemuda parti itu supaya merekrut ahli dan cawangan masing-masing agar ianya terus mantap dan relevan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Cawangan PBB N67 Jepak, Shamsuddin Haji Abdul Razak berkata setakat ini, pihaknya telah menerima kemasukan seramai 539 ahli baharu termasuk penubuhan ranting baharu iaitu Ranting Kampung Warisan Jepak.

Pelancaran rasmi ranting tersebut, katanya, akan disempurnakan dalam masa terdekat sambil memberitahu setakat Ini, PBB N67 Jepak mempunyai 18 ranting keseluruhan.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada ahli baharu sekaligus berharap mereka dapat mendalami sejarah perjuangan asal PBB disamping mengalu-alukan penyertaan lebih ramai lagi golongan muda ke dalam parti itu.