KUCHING: Tujuh kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 4 petang tadi, dengan lima titik panas turut dikesan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya berkata kawasan terbabit ialah IPD Serian dengan bacaan IPU 165, Sri Aman (161), Kuching (160), Mukah (154), Samarahan (135), Bintulu (130) dan Sibu (129).
Menurut JAS, kemerosotan kualiti udara hari ini menyaksikan peningkatan jumlah kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat, khususnya di Sarawak susulan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Situasi berkenaan turut dipengaruhi keadaan cuaca kering serta kewujudan titik panas dalam jumlah tinggi di beberapa kawasan di Kalimantan.
“Berdasarkan laporan Pusat Pakar Meteorologikal ASEAN (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 18 Ogos 2026, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan 1,079 titik panas dikesan di Kalimantan, 20 di Sumatera dan lapan titik panas dikesan di dalam negara,” katanya.
JAS berkata titik panas dikesan secara meluas di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, selain beberapa kawasan lain di Kalimantan, Kepulauan Sunda Kecil, Sumatera, Pulau Jawa dan Sulawesi.
Menurutnya, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC pada 18 Ogos turut menunjukkan keadaan cuaca kering di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan.
Bagaimanapun, beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan bahagian utara Sumatera mengalami hujan.
“Selain itu, kepulan asap sederhana hingga padat diperhatikan di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
“Kepulan asap sederhana dari Kalimantan Barat turut diperhatikan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak,” katanya.
JAS turut memaklumkan kepulan asap sederhana dikesan di Kalimantan Utara serta bahagian selatan dan tengah Sumatera.
Susulan keadaan itu, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka serta menghadapi situasi jerebu.
Dalam pada itu, JAS menasihatkan pemilik tanah supaya memantau rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.
Langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.


