KOTA SAMARAHAN: Enam lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia ditahan kerana terlibat dalam aktiviti perjudian sabung ayam dan bermain judi holo di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Jaimi Husin, berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 28 hingga 50 tahun itu dicekup menerusi tiga serbuan dalam Op Limau 2025.
Ia dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Kota Samarahan pada 30 Januari lepas dan semalam.
“Satu kes disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Veterinar Kesihatan Awam 1999, dan dua kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana melakukan aktiviti perjudian jenis ‘hoo hey how’ (holo),” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah warga Indonesia yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan kesalahan tinggal melebihi masa dibenarkan di Malaysia.
“Suspek masih ditahan reman di lokap Balai Polis Kota Samarahan,” katanya.
Dalam pada itu, Jaimi berkata operasi tersebut juga berjaya menangkap dan menyelesaikan satu kes orang yang dikehendaki berkaitan satu kes Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Beluran, Sabah.


