BAU: Aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan sempadan kembali menjadi perhatian apabila tujuh lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi bersepadu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sekitar Kampung Serikin, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi tersebut dijalankan antara jam 5.45 pagi hingga 6.30 pagi.
Menurutnya, operasi itu melibatkan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk dan Keselamatan Kampung (JPJKK), susulan maklumat awam berhubung pergerakan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan awal terhadap kesemua suspek membawa kepada penemuan dadah disyaki jenis syabu dan pil Eramin 5 dengan jumlah keseluruhan seberat 2.01 gram yang dianggarkan bernilai RM230.
“Rampasan itu ditemui pada seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai menyimpan bahan terlarang tersebut di dalam sebuah bekas timah kecil,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Haide berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tujuh lelaki berkenaan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, sekali gus mengesahkan penglibatan mereka dalam penyalahgunaan bahan terlarang itu.
Beliau berkata, suspek utama ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, manakala enam yang lain ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.
“Siasatan awal turut mendapati sebahagian suspek mengaku kali terakhir mengambil syabu antara satu hingga dua hari sebelum ditahan.
“Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau bagi membantu siasatan lanjut, manakala permohonan reman terhadap suspek utama dijadualkan dilakukan hari ini.
“Kami komited untuk terus memperketat pemantauan dan operasi di kawasan sempadan, khususnya Kampung Serikin yang sering menjadi tumpuan, serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan dadah di peringkat komuniti,” jelasnya.

