KUCHING: Tiga kes jangkitan rabies atau penyakit anjing gila dalam kalangan manusia dikesan di sekitar kawasan Bandaraya Kuching sejak 13 Disember lepas.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata bilangan kes tersebut direkodkan bagi tempoh lima hari bermula 9 Disember 2024.
“Dua kes gigitan anjing liar manakala satu kes gigitan haiwan peliharaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Wee berkata, dua kes gigitan anjing liar masing-masing dikesan di RPR Batu 9 Taman Sri Jaya dan Lorong 7, Jalan Hup Kee di sini.
Dalam pada itu, katanya, satu kes akibat gigitan haiwan peliharaan dikesan di Stutong Baru, Lorong A3A.
Pada penghujung November lepas, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, berkata tujuh maut akibat dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies di Sarawak tahun ini.
Beliau berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan kematian akibat rabies sejak 2017 adalah seramai 75 mangsa.
“Sejak wabak rabies diisytiharkan pada 2017, sebanyak 82 kes rabies menjangkiti manusia direkodkan.
“Berikutan kes jangkitan yang masih berlaku, kerajaan Sarawak terus menjalankan pelbagai program seperti Persidangan Rabies di Borneo (RIB) yang diadakan pada Oktober lalu,” katanya.

