KUCHING: Tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai lebih RM200 juta dimeterai pada penganjuran Majlis Industri Tenaga (EIC) Connect Energy Borneo 2025 yang berlangsung selama dua hari, berakhir hari ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, ia dijangka memperkukuh perkongsian strategik serta sokongan industri dalam memajukan sektor tenaga di rantau ini.
“Sorotan utama persidangan kali ini adalah pemeteraian tujuh MoU bernilai lebih RM200 juta, untuk memperkukuh perkongsian strategik dan sokongan industri bagi memajukan sektor tenaga di rantau ini.
“Ia sekali gus mencerminkan visi tenaga jangka panjang Malaysia dan komitmen Sarawak terhadap Agenda Tenaga Hijau,” katanya dalam kenyataan selepas majlis penutupan EIC Connect Energy Borneo 2025 di sini, hari ini.
Jelasnya, peralihan tenaga adalah usaha kolektif dan hanya dapat dicapai melalui kerjasama strategik masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Dalam kenyataan sama, Hazland menyatakan salah satu tumpuan persidangan itu ialah peranan hidrogen dalam peralihan tenaga Sarawak.
Menurutnya, SEDC Energy menggariskan rancangan berani untuk mewujudkan rantaian nilai hidrogen yang komprehensif, dengan projek utama seperti Loji Hidrogen Rembus yang akan dilancarkan tahun ini dan loji elektroliser pertama beroperasi sejak Jun 2024.
“Inisiatif ini bukan sahaja akan menggerakkan kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) dan bas hidrogen di rantau ini, tetapi juga meletakkan Sarawak sebagai pengeksport hidrogen utama di Asia Tenggara.
“Pemimpin industri menekankan potensi hidrogen dalam menyahkarbonkan industri utama, termasuk petrokimia, pembuatan keluli, dan juga fesyen.
“Dengan memanfaatkan sumber kuasa hidrogen yang banyak, Sarawak berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya dalam landskap tenaga hijau global,” ujarnya.
Fokus kedua jelasnya, mengimbangi kelestarian dengan Brownfield Rejuvenation.
“Pakar pada persidangan membincangkan peranan AI dalam penyelenggaraan ramalan, mengoptimumkan perolehan dan automasi aliran kerja, menjadikan operasi lebih kos efektif dan cekap.
“Pun demikian, mereka turut menekankan keperluan untuk tadbir urus AI yang beretika, memastikan integriti data, pengawasan manusia, dan pelaksanaan yang bertanggungjawab semasa Malaysia bergerak ke arah Industri 5.0,” tambahnya.
Fokus lain seperti merapatkan jurang bakat dalam ekonomi tenaga baharu, memajukan bahan api penerbangan mampan (SAF) di Asia Tenggara, penyahtauliahan luar pesisir dengan pendekatan bertanggungjawab, selain gesaan dan tindakan bagi membina masa depan tenaga mampan.
“Ketika EIC Connect Energy Borneo 2025, peneraju industri menegaskan semula kepentingan kerjasama, inovasi dan tindakan tegas dalam membentuk masa depan tenaga.
“Wawasan, perkongsian dan komitmen yang dibuat semasa persidangan itu kini mesti diterjemahkan ke dalam kemajuan dunia sebenar, memastikan Sarawak dan Malaysia terus menerajui pembangunan tenaga mampan,” tegasnya.
Ketua Eksekutif, EIC United Kingdom Stuart Broadley dan Pengarah Serantau EIC Asia Pasifik Azman Nasir turut hadir sama.


