KUCHING: AirBorneo memaklumkan beberapa penerbangannya mengalami kelewatan sementara berikutan masalah teknikal, sekali gus menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh penerbangan yang dijadualkan hari ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, pasukan teknikal sedang berusaha menyelesaikan masalah berkenaan secepat dan sebaik mungkin bagi memastikan operasi penerbangan kembali pulih dalam masa terdekat.
Menurut AirBorneo, keselamatan penumpang dan anak kapal kekal menjadi keutamaan sepanjang usaha pemulihan dijalankan.
“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami serta menghargai kesabaran dan kefahaman semua penumpang,” menurut kenyataan itu.
Penerbangan yang terjejas melibatkan laluan, MY3251 (Kota Kinabalu – Mulu), MY3631 (Mulu – Miri), MY3632 (Miri – Mulu), MY3633 (Mulu – Miri), MY3222 (Miri – Labuan), MY3046 (Labuan – Kota Kinabalu) dan MY3047 (Kota Kinabalu – Labuan).
Syarikat penerbangan itu turut menasihatkan penumpang yang terlibat supaya mendapatkan maklumat terkini berkaitan status penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang.



